Make your own free website on Tripod.com
Get Paid To Read Emails

Dr. Mahathir - 21 Tahun Dan Masa Depan

Semasa rencana ini ditulis, beberapa perkara sudahpun jelas iaitu:

Dr. Mahathir akan bersara selepas Persidangan OIC pada Oktober 2003. 
Abdullah Badawi telah dipilih sebagai pengantinya 
Majslis tertinggi UMNO dan Barisan Nasional telah menerima keputusan ini
Selain daripada itu, pengumuman yang dibuat oleh Khalil Yaakop pada 25hb. Jun 2002 adalah apa yang telah diputuskan oleh Dr. Mahathir sendiri. Kenyataan tersebut dengan jelas memberitahu bahawa Dr. Mahathir bin Muhammad telah memutuskan bahawa beliau akan bersara, bila beliau akan bersara dan siapa pengantinya.

Jika itu yang diputuskan maka beberapa persoalan timbul ?

Mengapakah Dr. Mahathir menangis padahal beliau hanya akan meletak jawatan selepas 16 bulan dan bukan dengan serta-merta. 

Mengapa para kepimpinan UMNO tidak membenarkan beliau menghabiskan pengumumannya 

Selain daripada itu, cuti Dr. Mahathir ke Eropah sudahpun dirancang sebelum itu dan dengan jelas memberi gambaran bahawa Dr.Mahathir memang sudah merancang langkah-langkahnya, maka keputusannya ini sekurang-kurangnya bukan satu kejutan kepada Dr. Mahathir sendiri

Dr. Mahathir juga adalah pengerak utama untuk mengadakan Persidangan Negara Berkecuali dan OIC di Malaysia pada tahun depan dan memang beliau hendak keluar dari arena politik dengan populariti yang tinggi dan adalah mustahil untuk mengandaikan beliau bercadang untuk meletak jawatan dengan serta-merta. 
Melihat kepada semua senario ini, amat jelas bahawa Dr. Mahathir sudah merancang dengan teliti bagaimana untuk berundur. Namun demikian, keputusan ini tidak dibincang atau dikongsi dengan sesiapa pun termasuk Timbalannya yang begitu taat setia kepadanya. Maka adalah jelas bahawa Mahathir berfikir bahawa tarafnya dan pemikirannya adalah terlalu tinggi dan tidak perlu mendapat pandangan orang lain. Itulah sifat-sifat yang jelas ada pada seorang Diktator.

Selama 21 tahun Dr. Mahathir memerintah, kita tidak boleh menafikan bahawa beliau sering dilihat sebagai seorang yang progresif dan berani. Beliau dikatakan telah membawa satu kepimpinan yang berbeza kepada UMNO dan Negara. Pada masa negara memandang kepada kapitalis Amerika Syarikat dan British sebagai rakan ekonominya, Mahathir telah memesong dengan memandang kepada kapitalis Jepun dan Korea sebagai rakan ekonominya. Beliau juga dilihat sebagai seorang yang tegas dan berani membawa perubahan dan antara perubahanya yang jelas ialah memperkenalkan name tag dan punch-kad untuk kakitangan kerajaan. 

Mahathir juga dikatakan progresif apabila sanggup menentang dan seterusnya mengurangkan kuasa raja-raja Melayu. Selain daripada itu, pandangan beliau seperti seorang bukan Melayu boleh menjadi Perdana Meneteri dan isu Meritokrasi seolah-olah membuat dan memperlihatkan Mahathir sebagai seorang yang progresif dan berani. 

Dr. Mahathir juga tidak gentar untuk mempersoalkan isu-isu sensitif seperti isu berkaitan dengan agama dan bahasa walaupun mungkin pandangan beliau akan mendapat reaksi daripada bangsanya sendiri.

Namun demikian, kesemua nilai progresifnya dan keberaniannya lebur begitu sahaja pada 22hb. Jun 2002 apabila beliau mengumumkan untuk berundur diri. Masyarakat UMNO yang dipimpinnya berkelakuan dan menonjolkan sifat-sifat konservatif dan fuedal. Setelah 21 tahun memerintah Negara dan UMNO, inikah golongan-golongan yang dicipta oleh Dr. Mahathir - lemah, keliru, tiada keyakinan diri dan mengampu habis-habisan.

Tindaktanduk ahli politik UMNO dan perwakilan UMNO memperlihatkan senario seperi anak ayam kehilangan ibu. Maka segala sifat keprogresifan lebur begitu sahaja dan segala pencapaian beliau kecundang apabila senoria dengan jelas mengambarkan Dr. Mahathir hanya berjaya mengujudkan satu masyarakat melayu yang berfikiran fuedal, lemah dan tidak yakin diri.

Dr. Mahathir juga tanpa rasa malu mengakui bahawa beliau gagal menukar pemikiran orang melayu. Dan apabila keputusan meletak jawatan ini dibuat oleh beliau seorang tanpa pengetahuan orang lain mengambarkan beliau tidak dapat mempercayai atau tiada keyakinan dengan sesiapa pun termasuk Timbalannya atau bakal pengantinya.

Selain daripada itu Dr. Mahathir menuduh orang melayu sendiri kerana tidak dapat menerima perubahan yang dibawanya. Apakah maksud perkara ini. Ia memberi gambaran bahawa hanya Dr. Mahathir sahaja tahu segala-galamnya manakala orang lain adalah pengikut atau pak turut. Jika itu adalah realitinya daripada pandangan Mahathir maka apa yang Dr. Mahathir marah sangat apabila orang melayu bergantung kepada subsidi dan pertolongan kerajaan. Siapakah yang mengujudkan pengantungan ini dan siapakah harus dipersalahkan. Sepanjang kepimpinannya, banyak pemimpin yang berpotensi telah dikorbankan oleh Mahathir dan hanya tinggal kini adalah saki baki pemimpin Melayu yang pandai mengagung-agungkan pemimpin, kaki ampu dan tidak dapat berfikir secara yakin dan terbuka.

Dalam nada yang sama, nampaknya Dr. Mahathir dan UMNO langsung tidak menghiraukan pandangan rakan politik mereka dalam Barisan Nasional (BN). Yang menonjol sekali ialah UMNO atau Mahathir sendiri yang membuat segala keputusan. Parti-parti lain dalam Barisan Nasional langsung tidak mempunyai sebarang suara dalam menentukan arah aliran negara. UMNO yang menentukan segala-galanya dan Mesyuarat BN hanyalah untuk memaklumkan kepada kepimpinan BN dan bukan untuk mendapat pandangan mereka. Inilah partnership era Mahathir dimana komponen BN yang lain hanyalah sekadar propoganda pilihanraya sahaja dan selepas itu balik kepada politik perkauman dan agama.

Sifat Dr. Mahathir yang mahu menentukan segala-galanya walaupun pada masa beliau berundur amat jelas. Siapakah Dr.Mahathir untuk memilih pengantinya. Mengapa beliau tidak membenarkan sahaja Perwakilan UMNO pada tahun depan melantik Presidennya dan seterusnya membenarkan pilihanraya umum menentukan siapakah yang patut menjadi Perdana Menteri. Tidak, Dr. Mahathir mahu semua mengikut rancangannya. Dibawah kepimpinan beliau juga kita dapat melihat bagaimana pilihanraya UMNO dan demokrasi dalam UMNO dipinda sekadar untuk membolehkan beliau terus berkuasa.

Politik Malaysia dan Sifat Pemimpin

Namun demikian, politik mengagungkan pemimpin adalah satu sifat yang amat negatif yang memberi gambaran bahawa rakyat adalah golongan yang bodoh manakala pemimpin adalah maha tahu dan maha mengetahui. Sifat-sifat pemimpin maha tahu dan pengikut buta dapat dilihat disetiap parti politik baik pemerintah mahupun pembangkang.

Jika Samy Vellu mahu meletak jawatan, senorianya saya rasa tidak banyak berubah juga dan begitu juga dengan orang-orang seperti Kaveas, Pairin dan Pandithan yang melakukan pelbagai aktiviti untuk menonjol diri mereka daripada menyelesaikan masalah rakyat.

Masalah adalah cara ahli UMNO berkelakuan dan cara Mahathir susah dicabar oleh pembangkang kerana Pembangkang sendiri mempunyai kelemahan yang sama. Sudah banyak kali, Lim Kit Siang telah mengatakan beliau hendak meletak jawatan dan setiap kali ahli-ahli DAP tidak dapat menerimanya manakala parti pemerintah pula mengatakan ini adalah sandiwara DAP atau sandiwara Kit Siang. Kini giliran orang lain pula memanggil tindaktanduk Mahathir sebagai sandiwara. Bagi parti KeADILan pula, parti tersebut dikatakan adalah parti untuk satu orang - Anwar Ibrahim. Dalam banyak isu penting dalam parti adalah dikatakan bahawa Anwarlah orang yang membuat keputusan. 

Tindak-tinduk pemimpin parti pemerintah dan pembangkang ini seolah-olah memberi gambaran bahawa mereka semua lahir untuk menjadi pemimpin semata-mata manakala orang lain semua lahir untuk menjadi golongan pengikut.

Bilakah Rakyat hendak Memimpin ?

Kini sesudah Mahathir mengumumkan beliau telah memilih Badawi sebagai pengantinya, maka mulalah kita mendengar puji-pujian terhadap Badawi pula. Bilakah semua ini akan berakhir.

Adakah pembangkang kini akan relax kerana Mahathir akan meletak jawatan dan selepas itu, mereka dapat mengatur langkah? . Adakah perjuangan 16 bulan yang akan datang akan menjadi lesu dengan pengumunan Mahathir. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini nampaknya musuh sering dilihat sebagai Mahathir dan bukan sistem yang wujud. Justeru itu, adakah dengan berakhirnya era Mahathir bererti segala masalah selesai ?

Walauapapun pencapaian Dr, Mahathir daripada pembina bangunan kembar tertinggi di dunia kepada membina jambatan Penang dan Kereta Nasional, kita tidak boleh lupa kepada sejarah dimana beliau merupakan Presiden yang telah membubarkan UMNO yang asal setelah menang tipis dalam pilihanraya . Beliau juga adalah Perdana Menteri yang campurtangan terus dan membunuh sistem Kehakiman Negara dengan memecat 5 Hakim Mahkamah Persekutuan dan dua daripada empat Timbalannya telah dipecat olehnya.

Bilakah Rakyat sendiri akan membuat keputusan ? Bilakah suara rakyat akan disanjung? Bilakah parti-parti politik akan memainkan peranan dalam mengembangkan kuasa dan penglibatan rakyat dalam arena politik negara? Bilakah kuasa rakyat akan muncul untuk menjerit ketidakadilan dan kemungkaran? Bilakah kuasa rakyat akan timbul untuk menukar pemimpin dan parti politik? Bilakah rakyat akan bebas dan yakin pada diri mereka sendiri? Inilah persoalan-persolan penting yang harus kita fikiran selain daripada membuat spekulasi senoria selepas Mahathir.

Sejarah gerakan rakyat telah membawa pelbagai perubahan besar didunia dan rakayat mempunyai peranan penting untuk mencipta masa depan dan arah aliran mereka. Masa depan sesuatu negara , bangsa dan tamadum tidak boleh diletak ditangan individu-indivudu atau segelintir kecil golongan kapitalis yang mengolot segala-galanya.



Untuk renungan bersama

S.Arutchelvan

27 Jun 2002