Make your own free website on Tripod.com
Get Paid To Read Emails

TEKS PERBAHASAN BELANJAWAN TAMBAHAN KALI KEDUA
OLEH AHLI PARLIMEN KEMAMAN
YB ABD RAHMAN YUSOF

PADA 24HB. JUN 2002 PUKUL 4.50PTG-5.30PTG

BERSAMBUNG PADA

25HB. JUN 2002 PUKUL 11.20 PAGI -11.40 PAGI

Dato Yang di Pertua,

Izinkan saya merakamkan ucapan Takziah kepada Yang Berhormat Ketua Pembangkang, Dato Ustaz Fadhil Noor, Ahli Parlimen Kawasan Pendang serta keluarga. Semoga ALLAH s.w.t. mencucuri Rahmat dan BerkatNYA kepada beliau dan meredhai segala usaha dan perjuangan beliau dan menggolongkan beliau ke dalam golongan orang-orang saleh.

Oleh kerana belanjawan tambahan kali ini melibatkan peruntukkan untuk pembangunan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) dan Multi Media Development Corporation Sdn. Bhd yang menghadapi persaingan hebat dirantau Asia Timur ini maka ucapan saya lebih tertumpu kepada suasana ekonomi persekitaran Asia Tenggara, Asia Timur dan senario ekonomi dan politik dalam negara.

Tuan Yang di Pertua,

Kalau kita membaca dan mendengar media massa baik tempatan maupun antarabangsa, kita dapati salah satu isu yang sering diungkitkan dalam perbincangan dengan Amerika Syarikat ialah masaalah  peningkatan kegiatan lanun di Selat Melaka. Keadaannya amat meruncing dan berbahaya sehingga kapal-kapal perdagangan perlu dikawal dan diiringi oleh kapal-kapal perang Amerika Syarikat dan Malaysia. Untuk menyelesaikan masaalah ini kerajaan bercadang untuk menubuhkan pasukan 'Pengawal Pantai' untuk melindungi kapal-kapal perdagangan yang melalui Selat Melaka dan berbillion ringgit akan dibelanjakan. Permasaalahan ini timbul sudah begitu lama tetapi kerana pelbagai permasaalahan dalaman yang melanda negara perkara ini diabaikan. Perlu diingatkan bahawa pelabuhan dari Pulau Pinang, Lumut, Kelang, Port Dickson, dan Tanjung Pelepas semuanya terletak dalam Selat Melaka. Keluaran Kasar Dalam Negeri atau GDP sebahagian besarnya bergantung kepada penyediaan laluan yang selamat untuk perdagangan antarabangsa. Sebagai sebuah negara yang berorientasikan eksport pergantungan kepada pengangkutan laut menjadi sebahagian daripada aspek kritikal dalam pembangunan ekonomi yang perlu dipertahan dan diurus dengan berkesan.

Ketidakupayaan negara untuk menyediakan laluan selamat dan terjamin kepada kapal-kapal yang melalui Selat Melaka akan membuka peluang kepada negara lain untuk mengolah skima yang menguntungkan mereka. Inilah yang sedang berlaku sekarang. Kerajaan Thailand sudah bercadang untuk membina terusan Ithmus Of Kra atau Genting Kra. Sekiranya dibina maka Malaysia, Singapura dan Indonesia akan terputus daripada laluan terpenting dunia yang boleh memberi kesan yang amat buruk kepada masa depan ekonomi negara. Malaysia bercadang membelanjakan berbillion ringgit dalam pembesaran dan permodenan kemudahan-kemudahan dipelabuhan-pelabuhan dalam perairan Selat Melaka tetapi sekirannya pembinaan terusan KRA ini terlaksana maka segala perbelanjaan ini tidak bermakna lagi. Walaupun Perdana Menteri menyatakan ia tidak memberi kesan yang besar kepada ekonomi negara tetapi apa yang berlaku kepada pembangunan Lapangan Terbang Bangkok menjadi pengajaran. Lapangan Terbang KLIA tidak berupaya bersaing dengan Lapangan Terbang Bangkok. Malah Lapangan Terbang Cangi di Singapura pun kalah dalam persaingannya dengan Lapangan Terbang Bangkok. Dari segi kekerapan penerbangan, jumlah penumpang, destinasi penerbangan, dan sebagainya Lapangan Terbang Bangkok jauh lebih pesat sehingga tiga kali ganda lebih pesat dari KLIA dan sekali ganda dari Lapangan Terbang Cangi, Singapura. Ini disahkan sendiri oleh Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan dalam taklimat beliau kepada Jawatankuasa Odit Parlimen baru-baru ini. Seperti biasa rakyat dibohongi oleh kepimpinan negara bahawa Lapangan Terbang  KLIA lah yang terhebat, tercanggih, tersibuk di Asia Tenggara.

Ekonomi Asia bersaing hebat untuk mendapat pelaburan asing. Sekirannya terusan ini dibina maka seluruh perjalanan kapal akan melencong melalui terusan Kra dan tidak lagi melalui Selat Melaka. Ini akan mengubah pilihan pusat pembuatan, pengilangan dan perindustrian yang sudah tentunya beralih dari Malaysia. Thailand dan Cina akan menjadi pilihan utama pelabur asing sebagai pusat perindustrian Asia dan Malaysia akan terus ketinggalan dalam persaingan ini. Apa persediaan negara dalam menghadapi fenomena ini. Kenyataan Perdana Menteri bahawa ia tidak memberi kesan yang besar kepada negara adalah satu kenyataan tidak berasas dan negara perlu menangani permasaalahan ini dengan lebih serius lagi.

Tuan Yang di Pertua,

Sering kali kita dengar kebimbangan negara dalam menghadapi persaingan untuk menarik pelaburan asing dengan Negara Cina. Baru-baru ini Perdana Menteri menyatakan secara terbuka menyokong Negara Cina menjadi Kuasa Besar Dunia. Dengan berakhirnya persaingan dua kuasa besar dunia Amerika Syarikat dan Russia, Cina mengambil pendekatan baru dalam mengolah peranannya dalam hubungan luar dunia. Sebagai negara teras peradaban masyarakat Cina mereka meletakkan dua matlamat untuk dicapai:-

1)      menjadi juara atau tunggak kebudayaan Cina sebagai pusat tarikan kepada seluruh masyarakat Cina mengarah kepada negaranya.

2)      mengembalikan kedudukan sejarah yang hilang pada abad ke-19 sebagai kuasa 'hegemony' di Asia Timur.

Kemunculan peranan baru Cina ini dapat dilihat dalam:-

1) Cara Cina mentakrifkan kedudukannya dalam hubungan luarnya,
2) Sejauh mana penglibatan masyarakat Cina Seberang Laut dalam pembangunan ekonomi Tanah Besar Cina,
3) Peningkatan hubungan ekonomi, politik dan diplomatik dengan tiga entiti utama masyarakat Cina iaitu, Hong Kong, Taiwan dan Singapura dan,
4) Perubahan orientasi negara-negara Asia Tenggara terhadap Negara Cina dimana masyarakat Cina mempunyai pengaruh besar dalam politik mereka.

Kerajaan Cina melihat Tanah Besar Cina sebagai negara teras peradaban masyarakat Cina yang mana seluruh masyarakat Cina berorientasi kearahnya. Kepada kerajaan Cina masyarakat keturunan Cina walaupun menjadi kerakyatan negara lain adalah ahli masyarakat Cina dan sedikit sebanyak mempunyai hubungan atau kaitan dengan mereka. Hubungan diantara 'huaren' iaitu orang keturunan Cina dan "zhongguoren" iaitu orang berasal dari Negara Cina berpaksi kepada konsep "kebudayaan Cina" seperti yang terserlah dalam "gonshi" atau kesedaran bersama.

Konsep "Greater China" atau "Perlembaran Cina" berkembang dengan cepatnya dalam kebudayaan dan ekonomi dan telah  menular dalam realiti politik pula. Masyarakat Cina memain peranan besar dalam pembangunan pesat ekonomi Tanah Besar Cina, ekonomi Harimau Asia (dimana 3 daripada empat Harimau Asia adalah masyarakat Cina iaitu Taiwan, Hong Kong dan Singapura) dan ekonomi Asia Tenggara pada tahun-tahun 1980an dan 1990an. Pembangunan Ekonomi Asia Timur lebih berpusat kepada Cina dan dikuasai oleh masyarakat Cina. Masyarakat Cina dari Hong Kong, Taiwan dan Singapura merupakan penyumbang terbesar modal kepada pertumbuhan ekonomi Tanah Besar Cina dalam tahun 1990an. Masyarakat Cina menguasai ekonomi negara-negara Asia Tenggara. Di Filipina dimana masyarakat Cina merupakan 1 peratus sahaja daripada jumlah penduduknya menguasai 35 peratus dari ekonominya. Di Indonesia masyarakat Cina merupakan 2-3 peratus dari jumlah penduduknya menguasai 70 peratus dari ekonominya. Tujuh belas daripada dua puluh lima perniagaan terbesarnya dikuasai oleh masyarakat Cina dan sebuah konglomerat Cina dilaporkan menyumbang 5 peratus kepada KDNK Indonesia. Di Thailand masyarakat Cina merupakan 10 peratus dari jumlah penduduknya menguasai 9 daripada 10 perniagaan terbesar dan menyumbang 50 peratus kepada KDNK Thailand. Di Malaysia dimana penduduk masyarakat Cina hampir satu pertiga menguasai hampir keseluruhan  sektor swasta ekonomi negara. Di luar Jepun dan Korea ekonomi Asia Timur secara keseluruhannya berasaskan ekonomi Cina.

Walaupun Negara Barat mengurangkan pelaburan mereka di Cina selepas peristiwa Dataran Tianamen masyarakat Cina Seberang Laut mengambil kesempatan ini dan menyumbang 80 peratus daripada pelaburan terus asing ke Cina terutamanya dari Hong Kong 68.3 peratus, Taiwan 9.3 peratus, Singapura, Macao dan sebagainya. Jepun hanya menyumbang 6.6 peratus sahaja sedangkan Amerika Syarikat hanya 4.6 peratus dari keseluruhan pelaburan asing yang masuk ke Negara Cina. Singapura yang pada satu ketika dahulu merupakan pelabur terbesar di Malaysia dan Indonesia sekarang berpindah ke Cina. Separuh daripada projek bantuan luar negara kerajaan Singapura dihulurkan kepada Cina dan banyak "capital flight" dari masyarakat Cina di Asia Tenggara mengalir ke Cina. Tanah Besar Cina merupakan pasaran paling pesat berkembang dan menarik paling banyak pelaburan asing didunia ini. Perdagangan meningkat begitu ketara dikalangan masyarakat Cina di Asia Timur sehingga pengaruh kuasa Barat tidak bermakna lagi bagi mereka. Malah negara Barat pula yang  mengharap dapat berdagang dengan mereka sehingga sanggup menggadaikan prinsip pegangan negra mereka demi menjaga kepentingan perniagaan dan pelaburan mereka.

Sebagai sebuah kuasa hegemoni Asia Timur, Cina mengharap negara-negara Asia Timur sedikit sebanyak akur kepada sebahagian atau semua daripada tuntutan-tuntutan berikut:-

1)      Menyokong intergriti wilayah-wilayah Cina dalam penguasaan terhadap Tibet dan Xian Jiang dan intergrasi Hong Kong dan Taiwan sebagai wilayah Cina,

2)      Menghormati kedaulatan Cina keatas Laut Cina Selatan dan kemungkinan Mongolia

3)      Menyokong Cina dalam menangani persengketaan dengan Kuasa Barat dalam isu ekonomi, Hak Asasi Kemanusiaan, perlumbaan senjata dan lain-lain isu,

4)      Menerima keutuhan tentera Cina dirantau Asia Timur dan tidak membangun senjata nuclear dan kekuatan ketenteraan konvensyenal yang lain yang bersaing dengan kekuatan Tentera Cina,

5)      Menyesuai polisi perdagangan dan pelaburan selaras dengan kepentingan masyarakat Cina dan menggalak pembangunan ekonomi masyarakat Cina,

6)      Mendapat pandangan kepimpinan Cina dahulu dalam menangani masaalah Serantau,

7)      Terbuka dan menerima penghijrahan orang dari Negeri Cina,

8)      Menghalang dan menekan kebangkitan pergerakkan anti-Cina dan anti-masyarakat Cina dalam negara masing-masaing,

9)      Menghormati hak masyarakat Cina termasuk hak menjalin hubungan rapat dengan waris dan keluarga mereka di Cina,

10)  Berkecuali dalam gabongan atau kerjasama ketenteraan dengan kuasa lain dan menjauhi dari bergabong dengan kuasa lain untuk bersaing atau bersengketa dengan Cina,

11)  Menggalakkan penggunaan Bahasa Mandarin sebagai Bahasa kedua dan beransur-ansur mengganti Bahasa Inggeris sebagai Bahasa komunikasi di Asia Timur,

Apabila Perdana Menteri menyatakan sokongan Cina sebagai kuasa dunia apakah kerajaan menerima tuntutan-tuntutan yang dibuat oleh Cina terhadap negara-negara Asia Timur ini.

Berhadapan dengan realiti ini bagaimana negara dapat menyesuaikan diri dalam pembangunan ekonomi sekarang. Sebagai sebahagian daripada negara Asia Timur? Negara Islam? atau Proksi kuasa Barat?  Benarkah Malaysia menjadi  negara contoh negara-negara membangun dan Negara Islam? Bagaimana negara dapat mempertahankan kepentingan masyarakat pribuminya dalam perkembangan globalisasi yang berpusat kepada ekonomi masyarakat Cina di Asia Timur ini? Bagaimana hubungan ekonomi negara dengan negara-negara Islam dan negara-negara Barat? Masihkah negara menjadi pilihan pelaburan negara-negara Barat? Bagaimana perkembangan hubungan ekonomi negara dengan negara-negara Islam? Kenapa kerajaan menentang usaha kerajaan Negeri Terengganu dan Kelantan untuk menarik pelancongan dan pelaburan dari negara-negara Islam dengan menyediakan kemudahan-kemudahan berteraskan Islam? Terlalu banyak persoalan yang perlu ditangani dan InsyALLAH dimasa yang lebih sesuai saya akan memberi pandangan apa erti menjadi masyarakat Asia Timur, apa erti menjadi masyarakat Peradaban Islam dan apa erti menjadi proksi Barat berlandaskan perjalanan sejarah negara.

Tuan Yang di Pertua,

Orang Melayu mendokong UMNO kerana dasar perjuangannya untuk memertabatkan bangsa Melayu dan kaum Bumiputera baik dari segi Ekonomi, Bahasa, Pendidikan, maupun Agama mereka. Orang Melayu memberi mandat kepada UMNO hampir 45 tahun untuk memerintah negara agar dapat mengolah dasar, perencanaan dan perancangan untuk mencapai hasrat dan cita-cita mereka. Lebih separuh daripada daripada masa tersebut UMNO dan negara dipimpin oleh Perdana Menteri sekarang, Yang Berhormat Kubang Pasu. Hasilnya orang perseorangan Melayu dan Bumiputera hanya dapat menguasai tidak sampai 2% daripada kekayaan negara. 17% lagi yang didakwa kepunyaan Melayu dan Bumiputera dimiliki kerajaan dan agensi kerajaan. Adalah tidak wajar untuk menyatakan bahawa kekayaan ini hak milik Melayu dan Bumiputera kerana ia adalah milik kerajaan dan agensi kerajaan. Daripada 19% ini saya percaya nilainya sudah susut dengan teruknya akibat krisis kewangan 1997 lalu. Sayang seribu kali sayang dalam keadaan kepincangan dalam mengolah dasar, perencanaan dan perancangan untuk memertabatkan Bangsa Melayu dan kaum Bumiputera kerajaan dibawah pimpinan UMNO mengambil pendekatan memusuhi, menekan, menindas dan memiskinkan bangsa Melayu dan kaum bumiputera di Pantai Timur terutamanya di Negeri Terengganu dan Kelantan. Benarkah perjuangan UMNO untuk memertabatkan bangsa Melayu dan kaum Bumiputera?  Mengapa orang Melayu di Terengganu dan Kelantan dikhianati sedemikian rupa? Apakah mereka bukan orang Melayu?

Pada masa ini terdapat 10 buah tabung unit amanah dalam pasaran yang dikhaskan untuk kaum Bumiputera daripada 159 buah tabung amanah di Malaysia iaitu lebih kurang 6.3% sahaja daripada jumlah keseluruhan tabung amanah. Tabung-tabung ini diuruskan oleh 8 buah syarikat pengurusan iaitu Permodalan Nasional Berhad, ASM MARA Unit Trust Management Berhad, Amanah Saham Sarawak Berhad, Amanah Saham Kedah Berhad, Tabung Amanah Saham Selangor Berhad, Pelaburan Johor Berhad, Pengurusan KUMIPA Berhad dan PTB Unit Trust Berhad.

Sebahagian besar pelaburan tabung-tabung ini adalah dalam saham syarikat yang diseneraikan di Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL). Pada 31 Disember 1996 nilai aset bersih tabung-tabung ini berjumlah RM 49,627 juta atau hampir RM50 billion ketika Indeks Komposit BSKL berada pada paras 1,214 mata. Walau bagaimanapun berikutan daripada krisis kewangan tahun 1997, nilai aset bersih berkurangan sebanyak 47.4% kepada RM26,124 juta atau RM 26 Billion pada 31 Disember 1997 apabila Indeks Komposit BSKL jatuh kepada 568 mata. Dalam tempoh antara 31 Disember 1998 hingga 31 Disember 2001 nilai aset bersih adalah diantara RM25,750 juta hingga RM29,899 juta. Ini bermakna nilai aset bersih tabung-tabung unit amanah Bumiputera susut lebih kurang RM 20 billion atau 40% dari RM 50 billion ke RM30 billion sehingga 31 Disember 2001. Jadi saya ingin tahu berapa kekayaan terkumpul kaum Bumiputera hingga hari ini. Adakah ia masih 19% seperti mana yang didakwa oleh kepimpinan UMNO yang menguasai kerajaan hari ini atau makin mengurang sekarang ini. Saya difahamkan kekayaan negara dikuasai oleh orang perseorangan Melayu dan Bumiputera dan agensi kerajaan sudah tidak sampai 12% sahaja lagi.

Terlalu banyak kegagalan-kegagalan kerajaan pimpinan UMNO untuk memartabatkan bangsa Melayu dan kaum bumiputera. Dasar penswastaannya yang telah banyak diperkatakan dalam Dewan ini. Dasar membina usahawan dan jutawan bumiputeranya dan pelbagai dasar lagi yang menempuh kegagalan demi kegagalan. Apakah layak Perdana Menteri melolong seperti orang sedang dirasuk syaitan dalam Stadium Melawati " WAHAI PEMBANGKANG KAMU TIDAK ADA ISU LAGI!!!" dan meminta Parti-parti pembangkang dibubarkan sahaja sedangkan pelbagai isu yang diungkitkan oleh pembangkang tidak dapat dan masih belum diselesaikan. Isu DSAI, Perwaja, hutang negara, penerbitan bon palsu PUNB sebanyak RM 19 billion, hutang Petronas, pasaran saham dan modal, bail-out syarikat-syarikat kroni yang menggunakan wang kerajaan dan rakyat, Tabong Haji, KWSP, Bank Pembangunan, pertukaran wang asing, hutang lapuk dalam sistem perbankan dan institusi kewangan, kenaikan tol yang tidak henti-henti, penyalahgunaan ISA, OSA, Akta Cetak, pengongkongan media massa, penyalahgunaan kuasa Institusi Polis dan Kehakiman, kegagalan Multi Media Super Corridor, pengaliran keluar pelabur asing dan pelbagai isu lagi.

Saya tidak bercadang membahas kegagalan UMNO dalam menangani isu pendidikan, bahasa dan Agama dan percaya ia akan dibahaskan oleh sahabat-sahabat saya selepas ini.

Tuan Yang di Pertua,

Saya ingin merakamkan ucapan berbanyak terima kasih keatas kesudian Perdana Menteri melawat dan merasmikan Kompleks Perindustrian Petroleum, Gas dan Petrokimia di Kertih, Kemaman Negeri Terengganu Darul Iman pada 9hb. Mei baru-baru ini. Saya harap ahli-ahli Parlimen disebelah sana tidak perlu jealouslah kalau kawasan mereka belum dilawati PM kerana mungkin kawasan-kawasan mereka tidak begitu significant untuk dilawati PM terutamanya kawasan-kawasan seperti Seri Gading,  Larut, Parit Sulong, Tebrau, Arau, Kinabatangan,  dan kawasan-kawasan lain yang sewaktu dengannya. Ingin dimaklumkan bahawa perancangan pembangunan Kompleks  Petroleum, Gas dan Petrokimia di Kertih, Kemaman ini bermula pada tahun 1973 dan kompleks petroleum yang pertama siap ialah pada tahun1978 iaitu sebelum Ahli Parlimen Kubang Pasu menjadi Perdana Menteri lagi. Jadi untuk menyatakan bahawa pembangunan kawasan dan kompeks perindustrian Petrolium, Gas dan Petrokimia di Kertih ini adalah hasil daripada cita-cita dan impian yang direncana oleh Perdana Menteri sekarang sepertimana yang diucapkan oleh Pengerusi Petronas dan Perdana Menteri sendiri tidak begitu tepat dan sama dengan kata pepatah Melayu "lembu punya susu sapi dapat nama .

Saya juga berkongsi perasaan sedih Perdana Menteri sepertimana yang dilaporkan oleh media perdana yang melihat pembangunan Bandar di persekitaran Kompleks Perindustrian ini tidak seimbang dengan pembangunan dan pelaburan yang melibatkan pelaburan lebih kurang RM40 billion. Inilah hasil perencanaan dan perancangan pemerintahan lebih 40 tahun di bawah kerajaan Barisan Nasional di Negeri Terengganu. Memang benar Negeri Terengganu Darul Iman dibawah pemerintahan kerajaan Barisan Nasional tidak berupaya mengolah perencanaan, perancangan, dasar, dan polisi yang baik untuk Negeri Terengganu secara amnya dan kawasan Kertih, Kemaman khususnya sehingga Negeri Terengganu ditakrif sebagai negeri kedua termiskin dalam negara walaupun mendapat hasil "royalty petrolium yang begitu lumayan dari Petronas selama lebih 20 tahun sebanyak lebih RM7.0 billion ringgit.

Negeri Terengganu bernasib baik kerana rakyatnya menyedari kelemahan dan kepincangan dibawah pemerintahan kerajaan Barisan Nasional dan membuat perubahan pada pilihanraya yang lepas untuk melihat satu pembangunan yang seimbang  dapat dilaksanakan dibawah kerajaan Barisan Alternatif. Dalam jangka masa yang pendek lebih kurang 2 tahun sahaja dibawah kepimpinan Barisan Alternatif Negeri Terengganu telah dapat mengurangkan jurang kemiskinannya dari tangga ketiga ke tangga kedua walaupun dalam keadaan hasil "Royalti Petroleum" ditarik balik. Malah Negeri Terengganu dan Sarawak merupakan dua buah negeri yang paling tinggi memberi bantuan kepada warga miskin dan daif menunjukkan keprihatinan kerajaan di bawah Barisan Alternatif dalam menangani masaalah kemiskinan.

Jadi adalah adil sekiranya kerajaan mengembalikan semula hasil royalti petroleum kepada kerajaan Negeri Terengganu dan saya percaya di bawah kepimpinan kerajaan Barisan Alternatif Negeri Terengganu akan dapat membangun dengan lebih pesat dan seimbang lagi sepertimana yang dicita-citakan oleh Perdana Menteri sendiri. Dua hari lepas Ketua Polis Negeri menyatakan kadar jenayah di Negeri Terengganu turun mendadak dan begitu ketara kerana orang ramai banyak memberi kerjasama dalam membenteras kegiatan jenayah di negeri ini. Tidak usah hendak memperlekehkan kejayaan kerajaan Negeri Terengganu dalam pembangunan sosial, ekonomi dan politiknya. Fakta dan bukti nyata menunjukkan bahawa Negeri Terengganu jauh lebih baik dalam jangka masa yang pendek dibawah  pemerintahan Barisan Alternatif berbanding dengan kerajaan dibawah pemerintahan Barisan Nasional dahulu.

Tuan Yang di Pertua,

Kertih dalam kawasan Parlimen Kemaman Negeri Terengganu Darul Iman merupakan mercu tanda kekayaan negara dijana yang dihasilkan dari perut bumi Negeri Terengganu. Hasil kekayaan inilah yang menyumbang kepada pembangunan dan pertumbuhan ekonomi negara. Walaubagaimanapun hasil kekayaan dari perut bumi Negeri Terengganu yang dianugerahkan ALLAH S.W.T. ini telah gagal dipergunakan dengan sebaiknya untuk mengolah polisi ekonomi yang cemerlang untuk masa depan negara. Hasil kekayaan ini telah disalahgunakan untuk megisi poket-poket kapitalis kroni dan meninggalkan kesan yang buruk dan mendalam untuk masa depan negara.

Ekonomi Malaysia boleh dikatakan masih kukuh sepertimana yang dinyatakan oleh kerajaan kerana Negeri Terengganu yang sekarang ini mempertahankannya. Rakyat negeri Terengganulah yang mempertahankan ekonomi negara sekarang ini. Sebab itulah kerajaan melakukan apa sahaja untuk merampas semula negeri Terengganu dari Barisan Alternatif dan membayangkan bahawa orang Melayu Negeri Terengganu sudah berbalik semula menyokong Barisan Nasional.  Rakyat Negeri Terengganu dirasuah dengan pemberian wang ehsan dan dalam masa yang sama kerajaan menyatakan faktor utama kelemahan orang Melayu ialah kerana terlalu mengharap subsidi kerajaan atau orang Melayu dihinggapi penyakit mentaliti subsidi atau apa yang dinyatakan oleh TPM "mentaliti mengharap tongkat". Bukankah kerajaan Barisan Nasional sendiri yang menyuntik penyakit ini kedalam masyarakat Melayu semata-mata untuk kepentingan politik mereka. Harapan saya orang Terengganu tidak sebodoh yang diharapakan oleh kerajaan Barisan Nasional dan penyakit ini tidak merebak kedalam masyarakat Melayu Terengganu.

Orang Melayu yang dikatakan kembali semula kepangkuan Barisan Nasional hanyalah pengundi hantu yang dipindah kesana sini melalui manipulasi pendaftaran pengundi pilihanraya yang menghalalkan perbuatan ini melalui pindaan Akta Pilihanraya yang tidak lagi membenarkan keputusan pilihanraya dicabar dimahkamah. Hanya melalui cara ini sahaja kerajaan berharap kuasa politik boleh dipertahankan oleh Barisan Nasional. Kerajaan sanggup menggadaikan kedaulatan negara dengan memberi kerakyatan kepada warga asing seperti Myanmar, Indonesia, Thailand, Filipina dan sebagainya untuk membolehkan mereka  mengundi dan menentukan corak  kepimpinan negara. Seolah-olah negara hari ini penentuan kepimpinan negara  ditentukan oleh warga asing dan tidak lagi oleh anak watan negara.

Tanpa hasil petroleum dan gas dari Terengganu keadaan ekonomi negara sudah lumpuh hari ini. Pengurniaan ALLAH s.w.t. telah dieksploitasi dengan begitu rakus hingga rizab petroleum negara tinggal tidak sampai 10 tahun lagi dan gas lebih kurang 25 tahun lagi. Boleh dikatakan  Negeri Terengganu Darul Imanlah menjadi penyelamat ekonomi Negara dan tanpa hasil Petrolium dan Gas dari Negeri Terengganu Malaysia hari ini tidak boleh dibangunkan seperti hari ini. Negeri Terengganu telah menyumbang tidak kurang dari RM200 billion ringgit yang dibelanjakan dalam pelbagai sektor ekonomi yang mana didalam ucapan-ucapan saya sebelum ini disalahgunakan melalui rasuah, penyelewengan dan meyelamatkan kroni UMNO dan kepimpinan negara seperti Bank Bumiputera, Proton, Konsortium Perkapalan, Litar Formula Satu, Putrajaya, Dayabumi, KLCC, Maminco dan sebagainya oleh kerajaan Barisan Nasional. Negeri Terengganu menghasilkan kekayaan dan kerajaan Barisan Nasional menyeleweng dan menyalahgunakan kekayaan hasil dari Negeri Terengganu.

Tanpa hasil Gas dan Petrolium dari Negeri Terengganu Petronas tidak akan wujud. Walaubagaimanapun hingga hari ini. Kerajaan tidak pernah  membentangkan penyata kewangannya baik kepada umum maupun didalam parlimen ini.  Kerajaan lebih utamakan kerahsiaan daripada keterbukaan berhubung dengan penyata kewangan Petronas ini. Walaubagaimana pun beberapa penyata kewangan Petronas telah dikeluarkan oleh J.P Morgan, Standard & Poor dan pelbagai agensi akreditasi antarabangsa yang lain apabila Petronas memasarkan BON diluar negara. Daripada yang dapat dibaca kelihatan kedudukan kewangan Petronas tidak begitu sihat sehingga berhutang lebih daripada RM40 billion ringgit dan baru-baru ini terpaksa meminjam lagi dengan penerbitan BON baru bernilai lebih RM10 billion ringgit dipasaran kewangan antarabangsa. Petronas dalam kenyataannya menyatakan penerbitan bon ini ialah untuk membiayai projek-projek baru sedangkan kebanyakan hasil penerbitan BON ini akan digunakan untuk membiayai semula pinjaman sedia ada dan lebih banyak lagi pinjaman akan dibuat dalam masa dua tahun lagi apabila bon-bon yang diterbitkan sebelum ini akan matang. Jadi apa yang dilakukan oleh Petronas ialah meminjam lebih banyak untuk membayar pinjaman sedia ada. Apa sudah terjadi dengan pendapatan Petronas? Kemana pergi nya pendapatan Petronas? Apakah pendapatan Petronas tidak lagi berupaya menyelenggara hutang-hutang yang dibuat selama ini? Apakah ia digunakan untuk menyelematkan ekonomi negara atau diselewengkan ditempat lain?

Saya minta Kerajaan membentangkan penyata kewangan Petronas memperincikan pembelajaan dan pendapatannya termasuk kedudukan aset dan hutangnya. Daripada perspektif perakaunan saya percaya Petronas berada dalam keadaan tenat kerana terlalu banyak terlibat dalam pembiayaian dan menyelamat pelaburan kerajaan dan kroni kepimpinan negara yang gagal. Kalau tidak kenapa perlu menerbitkan bon begitu besar. Saya cabar agar satu badan odit bebas ditubuhkan untuk menyiasat kedudukan kewangan Petronas dan melaporkannya kepada Parlimen. Apakah kenaikan harga petrolium sebanyak 2 sen baru-baru ini yang membebankan rakyat adalah sebahagian daripada cubaan untuk menyelamat Petronas dari dilanda krisis kewangan?

Oleh kerana Petronas merupakan pelabur terbesar dalam pembinaan Putrajaya, boleh dikatakan dengan tepat bahawa Putrajaya dibina hasil dari keringat dan kekayaan rakyat negeri Terengganu. Petronas juga merupakan penyelamat industri otomobil jadi boleh dikatakan juga bahawa industri otomobil akan terlingkup tanpa Terengganu. Malah kebanyakan kekayaan dan kemewahan Negara hari ini dibina hasil dari Petrolium dan Gas dari Negeri Terengganu. Negara dapat menikmati harga tenaga elektrik yang murah hasil gas dari Negeri Terengganu. Malah penilaian hutang negara ditentukan oleh kekayaan yang dihasilkan oleh Negeri Terengganu. Negeri Terengganu telah menyumbang terlalu banyak untuk negara bukan Perdana Menteri, bukan UMNO, bukan Barisan Nasional tetapi Negeri Terengganu. Mengapa rakyat dan kerajaan Negeri Terengganu dikhianati sebegitu rupa. Perbuatan seperti ini tidak akan dilakukan oleh orang Melayu tetapi oleh bangsa jenis lain.

Sekian. Terima Kasih.

YB ABD RAHMAN YUSOF
mpkemaman@hotmail.com