Make your own free website on Tripod.com
Get Paid To Read Emails

Mengapa Tidak Mahu Berundur Sebagai PM?

Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad telah mengumumkan pada penutup Perhimpunan Agung UMNO hasratnya untuk berundur sebagai Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional. Adakah ini satu lagi Sandiwara yang tidak diduga? Dr Mahathir dan Allah saja yang mengetahui. Akan tetapi, sandiwara atau bukan, namun beberapa perkara sekarang ini jelas.

Pertama, kesan daripada tindakan ini dan penarikan balik pengumumannya, Dr Mahathir yang kini diberi kepercayaan oleh Perhimpunan itu, muncul sebagai seorang Presiden bertambah kuat. Kekuatan dalam parti ini mungkin boleh digunakan beliau untuk meningkatkan lagi kekuatannya dalam masyarakat. Wataknya sebagai pemimpin kuku besi (diktator) akan menjadi semakin kukuh.

Kedua, Mahathir telah mengkritik serta menghina orang Melayu dalam ucapan beliau semasa merasmikan Perhimpunan. Beliau menyalahkan orang Melayu semata-mata sebagai bertanggungjawab atas kemunduran dan masalah mereka. Mahathir, UMNO dan Kerajaan seolah-olah tidak bersalah sama sekali. Dengan merayu supaya Mahathir terus memimpin UMNO, perwakilan sekaligus menerima bahawa Mahathir dan UMNO tidak bertanggungjawab atas kedudukan orang Melayu yang masih mundur selepas 45 tahun merdeka. Yang salah ialah orang Melayu sendiri.

Ketiga, lebih dua tahun lalu Mahathir mengumumkan bahawa beliau hendak mengurangkan tugasnya dalam Kerajaan sebagai Perdana Menteri dengan menyerahkan sebahagian daripadanya kepada Timbalan beliau, dan pada masa yang sama bertumpu kepada tugas-tugas parti. Ini tidak pernah berlaku. Bahkan apa yang berlaku ialah beliau menjadi seorang Perdana Menteri yang lebih berkuasa, membolot lebih banyak tugas sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.

Keempat, Mahathir tahu di mana letaknya kuasa yang sebenar iaitu pada jawatan Perdana Menteri, bukan jawatan Presiden UMNO. Sekiranya beliau benar-benar serius hendak meletakkan jawatan, langkah yang sepatutnya diambil ialah berundur daripada jawatannya sebagai Perdana Menteri. Tetapi beliau tidak akan melakukan ini, kerana sudah terlalu sayang pada jawatan yang menumpukan begitu banyak kuasa serta kemewahan kepada dirinya.

Dr Syed Husin Ali
Presiden PRM
22hb Jun 2002