Make your own free website on Tripod.com
Get Paid To Read Emails

Teliti Maksud Tersurat Perletakan Jawatan Mahathir

oleh LOKMAN ADAM

Pelbagai andaian yang boleh dibuat berdasarkan perletakkan jawatan Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional oleh Dr Mahathir Mohamad ketika membuat ucapan penangguhan Perhimpunan Agung UMNO yang berakhir semalam. Rata-rata rakyat yang membenci beliau sudah pasti menganggap ianya sebagai satu lagi sandiwara untuk meraih sokongan dan simpati rakyat. 

Walau bagaimanapun, jika dikaji dari pelbagai sudut terutamanya memek muka, perasaan gemuruh, ucapan yang tidak tersusun dan luahan perasaan marah yang keterlaluan terhadap PAS sebelum membuat pengumuman perletakan jawatan tersebut, boleh disimpulkan bahawa, kalaupun ianya satu sandiwara ianya nyata bukan sandiwara biasa.

Jika dihalusi perkara-perkara tersebut, tiga kesimpulan boleh dibuat. Pertama, Dr Mahathir sememangnya ikhlas dan benar-benar berhasrat untuk meletakkan jawatannya. Ini mungkin berpunca daripada perasaan insaf bahawa hayatnya mungkin sudah hampir sampai ke penghujung jalan berdasarkan keadaan kesihatan atau mungkin kerana sensitiviti beliau terhadap kesihatan isterinya yang sering sakit kebelakangan ini. 

Selain daripada itu, kita juga harus sedar bahawa sekarang adalah masa yang paling sesuai untuk beliau meninggalkan pucuk pimpinan negara dalam keadaan yang agak selesa, walaupun tidak sebaik sebelum peristiwa 2 September 1998. Hasrat beliau untuk berundur dalam keadaan disanjung dan disayangi rakyat musnah tatkala beliau mengambil keputusan memecat Dato' Seri Anwar Ibrahim serta melemparkan tuduhan yang tidak mungkin dapat diterima oleh sebahagian besar rakyat nagara ini, khususnya orang Melayu. Hanya selepas peristiwa 11 September yang banyak membawa perolehan 'political milage' yang lumayan kepada Barisan Nasional dan diri beliau sendiri, beliau mendapat keyakinan bahawa perletakan jawatannya akan membuat rakyat khususnya 'hard core' UMNO yang berada bersama beliau ketika itu, merasa hiba dan panik untuk berhadapan dengan hakikat kehilangan pemimpin yang seolah-olah tidak mungkin dapat dicari ganti itu.

Kedua, perletakan jawatan ini juga mungkin dibuat untuk menuntut sesuatu daripada UMNO. Apa yang ingin beliau pinta sudah pasti menjadi tanda tanya. Mungkin beliau mahu pemimpin UMNO akur dan bersetuju dengan perubahan drastik yang bakal beliau buat selepas ini seperti rombakan kabinet, dasar ekonomi, ataupun mungkin stragegi drastik beliau untuk mengekang kemaraan PAS. Sukar untuk kita mengagak apa yang ada dalam fikirannya sekarang.

Ketiga, perletakan jawatan ini juga mungkin Dr Mahathir buat untuk menguji Abdullah Badawi dan kuncu-kuncunya atau memberi isyarat yang jelas kepada mereka bahawa rakyat masih memerlukan kepimpinan beliau dan Dollah boleh melupakan hasrat dan cita-citanya untuk menduduki kerusi Perdana Menteri.

Tindakan bijak Dollah mempamerkan kesetiaannya dengan meminta Dr Mahathir menarik balik perletakan jawatannya sememangnya telah diduga. Walau bagaimanapun tindakan beliau melakukan pembohongan tentang penarikan balik perletakan jawatan tersebut mungkin akan membawa padah kepada dirinya sendiri apabila Dr Mahathir pulang dari Eropah kelak. Sukar untuk dipercayai bahawa Mahathir sanggup meletakkan tarafnya di bawah Aziz Sheikh Fadzil dan Ling Liong Sik. Apapun, adalah lebih bijak untuk kita menunggu seminggu lagi bagi mendapat jawapan yang tersirat disebalik apa yang berlaku semalam dan menanti peristiwa besar yang bakal berlaku kelak. 

Yang pasti, proses mengukuhkan kedudukan Dr Mahathir akan berlaku mulai hari ini dengan pelbagai ucapan sokongan oleh pelbagai pihak khususnya akar umbi UMNO dan Barisan Nasional serta perhimpunan menyambut kepulangan beliau kelak. Jika benar Dr Mahathir ikhlas untuk berundur dari persada politik tanahair dan ingin menyiapkan diri bagi mengadap Allah s.w.t., adalah lebih baik beliau berundur secara aman dengan menjelaskan hutangnya kepada Anwar Ibrahim terlebih dahulu.