Make your own free website on Tripod.com
Get Paid To Read Emails

Pembangkang Soal Dr Mahathir Bertalu-talu

Oleh Roy Rasul

KUALA LUMPUR, 17 Jun (Hrkh) - Perdana Menteri, Dato' Seri Dr Mahathir Mohamad disoal bertalu-talu oleh beberapa wakil pembangkang dalam sesi soal jawab pada Sidang Dewan Rakyat hari ini.

Dato' Mustafa Ali (PAS - Dungun) membangkitkan persoalan sama ada 47 tabung dana membabitkan RM15,625,00 juta yang ditubuhkan oleh kerajaan itu termasuk Tabung Wang Ehsan Kerajaan Terengganu.

Beliau mempersoalkan perkara tersebut ketika mencelah jawapan Dr Mahathir semasa menjawab pertanyaan lisan Muhamad Mustafa (Keadilan - Peringat).

Muhammad dalam soalan asalnya meminta Dr Mahathir yang juga Menteri Kewangan menyatakan jumlah dan jenis tabung dana yang ditubuhkan kerajaan untuk pelbagai tujuan dan fungsi bantuan rakyat di samping sejauh manakah keberkesanan tabung tersebut.

"Adakah dana Wang Ehsan Kerajaan Terengganu termasuk juga dalam salah satu 47 dana itu atau dalam kategori lain.

"Kalau ini (Wang Ehsan) dimasukkan dalam ketegori lain saya mahu penjelasan sama ada 47 tabung dana dibiayai daripada wang yang disatukan," soal Mustafa Ali.

Ini, katanya, kerana jika ia (tabung Wang Ehsan) dibiayai sumber lain, siapakah yang membiayai wang tersebut beserta jumlahnya di samping keberkesanan tabung tersebut.

Sementara itu, Muhammad Mustafa dalam soalan tambahannya meminta Dr Mahathir menjelaskan berapa banyak daripada dana tersebut yang digunakan bagi menyelamatkan syarikat besar yang bermasalah seperti Perwaja, Renong, MAS, LRT, konsortium perkapalan dan syarikat yang lain.

Beliau juga mempersoalkan sejauhmanakah dana tersebut boleh membantu pengusaha dalam Industri Kecil dan Sederhana (IKS) berbanding negara lain seperti Korea yang baru saja dilawati Dr Mahathir baru-baru ini.

Dato' Seri Abdul Hadi Awang (PAS -Marang), yang turut mengambil bahagian dalam perbahasan di Dewan Rakyat pagi ini menyentuh mengenai perjumpaan Dr Mahathir dengan Presiden Amerika Syarikat, George Bush baru-baru ini.

Katanya, walaupun Dr Mahathir mendakwa pertemuan tersebut turut membincangkan isu Palestin tetapi perubahan sikap dan dasar Amerika terhadap isu keganasan tetap tidak berubah.

"Sehingga hari ini apa yang berlaku Israel lebih agresif bahkah Amerika telah menjangkau kepada isu negara Kashmir," katanya.

Selain itu, Ustaz Abd Hadi yang juga Menteri Besar Terengganu mempersoalkan bentuk 'tekanan' Amerika terhadap Dr Mahathir dan Malaysia khususnya.

"Oleh kerana seringkali dikatakan setiap pemimpin yang masuk dalam 'White House' akan berubah warna bila keluar, jadi apakah tekanan yang dilakukan," soal beliau yang menyebabkan barisan pembangkang riuh rendah.