Make your own free website on Tripod.com
Get Paid To Read Emails

Saranan Harun Hashim Wajar Disokong

oleh LOKMAN ADAM

Sewaktu leka membelek biografi Dato’ Onn Jaafar “Pengasas Kemerdekaan”, karya Ramlah Adam, Saudara Ezam menarik perhatian saya terhadap beberapa rencana di dalam majalah “The Economist” dan akhbar New Straits Times (NST). Bagi kami di Kem Tahanan Kemunting ini, akhbar-akhbar yang dibekalkan kepada kami sememangnya telah terlebih dahulu ditapis oleh Pejabat Rekod Kem Tahanan (Kemta) dan biasanya diterima dalam keadaan berlubang-lubang atau hanya tinggal bingkai bagi beberapa mukasurat utama. Sungguhpun begitu, bagi diri saya, saya hanya membaca bahan-bahan terpilih untuk mengelakkan diri daripada membazirkan masa yang terhad ini dengan membaca bahan-bahan yang boleh menyebabkan saya diserang hipertensi atau diserang sakit jantung, terutamanya rencana-rencana yang terdapat dalam Utusan Malaysia, hasil tulisan pengampu terkemuka seperti Astora Jabat.

Sungguhpun NST juga merupakan media yang dikuasai oleh Barisan Nasional, keterbukaan dalam sesetengah rencana yang dipamerkan oleh akhbar tersebut sejak dipimpin oleh Tan Sri Abdullah Ahmad, sememangnya tidak dapat dinafikan. Walaupun tulisan peribadi beliau tidak pernah berhenti dari berlegar dari sekitar pengalaman peribadinya di MCKK, di Cambridge, di Machang, bersama Tun Razak dan ketika ditahan di bawah ISA. Saya yakin pembaca yang mengikuti perkembangan akhbar tersebut faham bahawa apa yang Dollah lakukan adalah untuk memenangi semula hati rakyat dan meningkatkan jumlah pembaca NST. Salah satu rencana yang menarik perhatian saya sehingga saya merasa terpanggil untuk memberikan pandangan adalah rencana tulisan Tan Sri Harun Hashim, Ahli Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) dalam akhbar NST terbitan 21 Mac lalu. Pokok bicara beliau berkisar tentang soal keadaan lokap polis, masalah sistem keadilan negara, khususnya berhubung dengan isu perintah reman dan diakhiri dengan saranan agar kerajaan membina sebuah Pusat Reman dan Tahanan (PRT) yang serba lengkap.

Rencana Tan Sri Harun mengingatkan saya terhadap kenangan manis, lapan kali dilokap di serata Semenanjung sepanjang 3 tahun berjuang di bawah platform Reformasi sebelum berlabuh selama hampir setahun kini di Pusat Penderaan anggota Kumpulan Menentang Mahathir (KMM) ini. Sememangnya benar apa yang digambarkan oleh Tan Sri Harun tentang keadaan lokap di sebahagian besar Balai Polis di Malaysia. Masih segar di dalam ingatan saya bagaimana kami disumbat selokap dengan 168 orang tahanan lain di Balai Polis Dang Wangi sedangkan lokap tersebut telah digazet untuk memuatkan tidak lebih daripada 38 orang sahaja. Pengalaman melihat Ruslan Kassim menyandarkan kepalanya berhampiran mangkuk tandas, tidur dalam keadaan duduk selama tiga hari berturut-turut, melihat Ezam tidur diapit penagih dadah yang menghidap AIDS dan pengalaman melihat Hanafiah Man diserang penyakit mata kerana tidur di atas lantai yang dilitupi daki setebal 1cm hasil dari peluh penagih dadah dan tahanan yang mempunyai pelbagai penyakit, sememangnya tidak dapat saya lupakan sama sekali.

Penyelewengan yang berlaku di Balai Polis Dang Wangi 40 tahun dulu semasa Tan Sri Harun Hashim menjawat jawatan Penolong Pendakwaraya, sehingga dinding lokap dibina dengan menggunakan campuran pasir yang berlebihan berbanding simen, turut berlaku kini. Sewaktu dilokap bersama-sama teman-teman di Balai Polis Dang Wangi, kami dapat melihat dengan mata kami sendiri bagaimana anggota polis menyalahgunakan kuasa mereka untuk meraih keuntungan besar daripada orang-orang tahanan. Dengan modal RM50.00, tahanan boleh memilih sama ada untuk membuat satu panggilan telefon, memilih sekotak rokok, menerima lawatan keluarga, membeli makanan seperti roti canai, nasi baryani dan sebagainya. Lebih menyedihkan, saluran ini juga digunakan untuk mendapatkan bekalan dadah dan ganja untuk penagih dadah yang sempat menyeludup wang atau berurusan dengan pihak tertentu melalui ruang udara lokap tersebut. Malah Dr. Badrul Amin pernah melihat aksi “Chasing The Dragon”, iaitu salah satu kaedah menghidu heroin yang dimasak di atas kertas timah oleh penagih yang dilokap bersamanya. Semua insiden ini jarang didedahkan kepada umum kerana wujudnya pelbagai akta yang melindungi anggota polis yang tidak bermaruah itu. Tidak ramai yang berani membuat pendedahan sepertimana yang dilakukan oleh Irene Fernandez, yang kini sedang berhadapan dengan hukuman penjara kerana mendedahkan tentang layanan buruk yang diterima oleh tahanan di Kem Penampungan (Pendatang Tanpa Izin) Semenyih. Insiden tahanan dirogol dan dipaksa melakukan oral seks untuk mendapatkan makanan yang lebih baik atau keistimewaan lain, sepertimana dilaporkan berlaku di lokap Ibu Pejabat Polis Ampang Jaya baru-baru ini bukanlah satu gejala baru. Itu sebabnya, saranan Tan Sri Harun Hashim agar sebuah Pusat Reman dan Tahanan dibina di bawah pengendalian Jabatan Penjara Malaysia dan bukan pasukan Polis, sewajarnya diberikan perhatian serius oleh semua pihak.

Pengasingan tahanan dalam PRT baru itu juga tidak seharusnya hanya berdasarkan kepada klasifikasi usia dan jantina semata-mata. Malah ianya wajar turut mengambil kira jenis kesalahan yang disyaki dilakukan oleh tahanan. Adalah tidak wajar seorang aktivis masyarakat yang ditahan kerana menyertai perhimpunan membantah pembinaan empangan hidroelektrik umpamanya, disumbatkan ke dalam lokap yang dipenuhi dengan penagih dadah, perompak, bapa ayam dan pelbagai jenis tahanan lain. Sebelum ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri buat kali pertama pada tahun 1998, saya pernah ditahan di bawah Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah kerana mengetuai penyerahan memorandum kepada Yang DiPertuan Agong pada 17 Oktober tahun tersebut. Di peringkat awal saya telah ditahan di lokap Cawangan Khas Ibu Pejabat Kontinjen Johor Baharu secara berasingan, “solitary confinement”, dan kemudiannya ditahan pula di lokap Cawangan Jenayah Berat (D9) bersama dua tahanan yang dituduh merogol dan seorang tahanan yang dituduh mencabul kehormatan. Pertama, bagaimana seorang yang ditahan kerana berhimpun tanpa permit boleh ditempatkan di lokap Cawangan Khas dan lokap Cawangan Jenayah Berat? Kedua, ketika berada di lokap D9, saya telah menyaksikan akibat lokap yang digunakan untuk menahan mereka yang direman dikendalikan oleh pihak polis. Salah seorang daripada menceritakan kepada saya bahawa beliau telah dipukul dan didera sewaktu disiasat sehingga beliau terpaksa mengaku merogol seorang gadis walaupun beliau tidak melakukannya. Kebenaran kata-katanya sememangnya tidak dapat saya pastikan tetapi kesan lebam dan luka di serata badan ketiga-ketiga tahanan tersebut cukup meyakinkan saya bahawa mereka telah didera dengan cara yang tidak berperikemanusiaan, sepertimana Rahim Noor membelasah Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Insiden tahanan dipukul sewaktu ditahan oleh pihak polis mungkin berkurangan selepas Rahim Noor didenda dan dipenjarakan selama dua bulan. Namun kes Abd Malek Hussin dipukul dan disula dengan paip getah, Tian Chua dibelasah oleh anggota polis yang memakai topeng balakava sehingga retak tulang belakangnya, dan pelbagai penderaan yang dilakukan oleh anggota polis terhadap rakyat biasa memberi justifikasi bahawa Pasukan Polis Diraja Malaysia tidak layak untuk diamanahkan bagi mengendalikan lokap tahanan yang masih di bawah siasatan mereka. Keganasan yang dilakukan oleh segelintir anggota polis ini telah banyak memberikan kesan negatif terhadap imej PDRM, sungguhpun kami juga sedar bahawa masih ramai anggota polis yang bertugas dengan penuh dedikasi.

Terdapat satu perkara penting yang tidak disebut oleh Tan Sri Harun dalam rencananya, iaitu berhubung penyalahgunaan perintah reman. Walaupun perintah reman di bawah Seksyen 117 hanya menghadkan tempoh reman selama 14 hari, kita harus sedar bahawa ianya boleh dilanjutkan lagi sekiranya pertuduhan ke atas tahanan diubah. Sewaktu ditahan di lokap Balai Polis Dang Wangi pada bulan September 1999, saya dapati bahawa sesetengah tertuduh ada yang telah direman lebih dari enam bulan melalui kaedah tersebut. Bagi ahli-ahli politik seperti kami pula, perintah reman ini digunakan oleh pihak pemerintah untuk mendera dan menakut-nakutkan kami, bukan untuk siasatan. Sepanjang 4 hari ditahan pada September 1999 itu, saya dan teman-teman hanya disoal-siasat selama setengah jam sebelum kami pula yang menjalankan siasatan dan berhujah dengan mereka sepanjang hari. Itu berlaku pada hari pertama, pada hari berikutnya dan sewaktu ditahan bagi kes-kes lain selepas itu kami langsung tidak disoal-siasat sama sekali. Malah, sewaktu ditahan dalam bulan Ogos tahun 2000, perintah reman saya telah dilanjutkan semata-mata untuk menghalang saya daripada menghadiri keputusan pembicaraan kes liwat DatoÂ’ Seri Anwar, walaupun saya tidak disoal-siasat sama sekali. Sikap menahan orang sesuka hati yang dilakukan oleh pihak polis ini juga tidak akan bermaharajalela sekiranya pihak majistret membuat penilaian dan pertimbangan dengan adil dan bukan dengan melihat latar belakang pendirian politik seseorang atau raut wajahnya yang mungkin secocok sebagai seorang penjenayah. Tidak dapat dinafikan bahawa hampir kebanyakan permohonan perintah reman yang dikemukakan oleh pihak polis telah diluluskan denga mudah, terutamanya jika tertuduh tidak diwakili oleh peguamnya.

Untuk saya menceritakan tentang keadaan lokap, penyelewengan pihak polis dan pelbagai kepincangan sistem perundangan negara ini belum tentu ianya dapat saya selesaikan melalui penghasilan sebuah buku setebal 500 mukasurat. Apa yang penting untuk saya tegaskan di sini adalah, setiap warga Malaysia yang cintakan keadilan wajar memberikan sokongan padu terhadap cadangan bernas Tan Sri Harun Hashim agar sebuah Pusat Reman dan Tahanan dibina seberapa segera yang mungkin. Jika projek pembinaan Litar Formula 1, KLCC, KLIA, Mahligai Perdana Menteri, Kompleks Kerajaan Putrajaya dan pelbagai projek mega lain boleh dilaksanakan sewaktu Malaysia berhadapan dengan kegawatan ekonomi, tidak ada sebabnya sebuah bangunan PRT tidak dapat dibina sekarang, di waktu ekonomi digambarkan telah kembali kukuh.

LOKMAN ADAM
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi KeADILan