Make your own free website on Tripod.com
Get Paid To Read Emails

Pemuda Perlu Dibuka Kepada Wanita Muda

oleh LOKMAN ADAM

Langkah meletakkan Ketua Puteri UMNO bertaraf Naib Presiden merupakan satu tindakan drastik oleh UMNO untuk menunjukkan sikap mereka yang pragmatik dan mengiktiraf pandangan generasi muda.

Sungguhpun kita cukup faham bahawa tindakan tersebut, termasuk penubuhan Puteri itu sendiri, bertujuan untuk meraih kembali sokongan generasi muda yang telah beralih kepada Barisan Alternatif sejak peristiwa pemecatan Dato’ Seri Anwar Ibrahim, namun tindakan bijak Dr Mahathir ini harus didepani secara serius oleh Barisan Alternatif, khususnya Parti Keadilan Nasional (KeADILan).

KeADILan bukan sahaja perlu mencari solusi bagi mengatasi kemaraan Puteri UMNO yang telah berjaya meraih publisiti dengan meluas, tetapi perlu menyediakan satu wadah yang jauh lebih baik daripada apa yang dihidangkan oleh UMNO.

Sebagai Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi KeADILan yang mewakili generasi bawah 30 tahun, saya merasakan sekarang merupakan masa yang paling sesuai bagi Pemuda KeADILan untuk membuka keahliannya kepada kaum wanita muda sepertimana yang dilaksanakan oleh PRM melalui Angkatan Mudanya, serta beberapa parti politik lain di Malaysia.

Ini selaras dengan definisi pertubuhan seluruh dunia dan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu yang menafsir “belia” sebagai lelaki dan wanita muda, bukan lelaki sahaja.

Walaupun Pergerakan Wanita KeADILan telah menjalankan usaha memenangi hati golongan muda dengan baik, namun kita tidak dapat menafikan bahawa naluri anak muda dan perbezaan zaman tidak mungkin akan membolehkan mereka yang mempunyai jurang pemikiran yang jauh berbeza memainkan peranan mereka mengikut paluan gendang yang sama. Langkah ini tidak sewajarnya dianggap bertujuan untuk mencuri keahlian Pergerakan Wanita sepertimana tentangan Wanita UMNO di peringkat awal cadangan penubuhan Puteri UMNO. Cadangan ini boleh dianggap sebagai proses penyesuaian diri bagi Pemuda KeADILan yang bakal bergabung dengan Angkatan Muda PRM kelak.

Proses ini perlu dilakukan segera memandangkan perubahan demi perubahan yang dilakukan oleh UMNO kini terutamanya selepas peristiwa 11 September, telah mula mendapat perhatian rakyat. Dengan keyakinan yang mereka miliki kini, tidak mustahil pilihanraya umum akan diadakan pada awal tahun hadapan atau mungkin juga penghujung tahun ini.

Jika kita terus berdiam diri, UMNO akan terus melangkah ke hadapan meninggalkan kita dengan meletakkan had umur bagi Pemuda UMNO di bawah 35 tahun berbanding 40 tahun kini, termasuk pemegang jawatan Ketua Pemuda. Mereka mungkin akan melantik satu atau dua orang anak muda sebagai Menteri Kabinet atau melakukan pelbagai perkara lain untuk mengikat sokongan anak muda terhadap mereka.