Make your own free website on Tripod.com
Get Paid To Read Emails

Pedas-Pedas Cili Api : Musim Bola Piala Dunia

Cili Api lihat musim ini, seperti musim sebelumnya, ramai peminat bola sepak di negeri ini menjadi ketagih menonton perlawanan akhir FIFA yang sedang berlangsung. Ketagihan ini melalikan mereka tentang segala penderitaan manusia dalam dunia, sekurang-kurangnya buat sebulan.

Nasib juga musim ini perlawanan di timur, bukannya di barat, dan perbezaan masa kecil saja. Musim yang lalu, apabila diadakan di barat dan perbezaan masa sampai 8 jam, ramailah terpaksa bersengkang mata sampai pagi, dan lesu bekerja dalam keadaan mengantuk.

Sekarang, perbezaan waktu dengan Jepun dan Korea cuma 1-2 jam saja. Jadi, tak payahlah penonton berjaga malam. Tapi, yang Cili Api kesian, mereka terpaksa miss perlawanan yang mereka minat, jika diadakan waktu siang. Macam manalah agaknya mereka mencuri-curi masa untuk melepaskan ketagih mereka?

Selain itu, ada satu perkara yang mengagumkan Cili Api, iaitu tentang Korea. Jepun tidak usah cakaplah. Korea ini, seperti Jepun juga, pernah menjadi tuan rumah kepada Olimpik, dan sekarang ini mereka bersama-sama menjadi tuan rumah kepada piala bola dunia pula. Bagaimanakah Korea (Jepun kita boleh fahamlah) boleh berjaya mendapat pengiktirafan dan penghormatan dunia untuk menjadi tuan rumah kepada dua pesta sukan yang besar ini?

Cili Api selalu mendengar ramai pemimpin Malaysia berkokok, dan banyak pula media tempatan yang mereka kuasai menyambut dengan berderai-derai, bahawa negeri ini maju dan menjadi contoh seantero dunia. Tetapi mengapakah sehingga sekarang tak ada siapapun hendak sebut Malaysia sebagai tempat bagi mengadakan Olimpik atau piala dunia FIFA?

Setakat ini kita cuma mampu menjadi tuan rumah kepada Commonwealth Games dan SEA Games saja. Bilakah agaknya kita hendak pergi ke taraf dunia. Yalah, Cili Api tahu perlawanan akhir dunia untuk badminton selalu diadakan di sini. Tetapi berapa orang saja yang menonton perlawanan badminton? Berapa stesen TV saja yang menyiarkannya?

Dalam bidang badminton pun kita sudah merosot. Tak usah sebutlah sukan-sukan lain. Tapi kita ada kementerian Belia dan Sukan. Kita membelanjakan begitu banyak wang membawa masuk coach misalnya untuk bola sepak dari luar negeri. Tetapi apa sebab mutu sukan kita tidak naik-naik. Selagi ini berterusan, susahlah bagi Malaysia menjadi tuan rumah perlawanan bola sepak dunia, apatah lagi Olimpik.

Cili Api harap jikalau Malaysia tidak layak atas asas merit, Menteri Belia dan Sukan tidak akan cuba jalan belakang untuk Malaysia dipilih menjadi tuan rumah. Harga membeli jawatankuasa FIFA atau Olimpik terlalu besar. Tetapi sebaliknya, apa susah? Para pemimpin Malaysia memang terkenal dengan seni rasuah yang sangat halus. Dan bukankah Cek Det selalu melaungkan Malaysia boleh! ?