Make your own free website on Tripod.com
Get Paid To Read Emails

Surat Terbuka Pelajar UiTM Kepada Yab Perdana Menteri

ABDUL MU'ADZ ABDUL RAZZAQ 
Fakulti Kejuruteraan Elektrik 
Universiti Teknologi MARA (UiTM) 
40000 Bandaraya Shah Alam 
SELANGOR DARUL EHSAN 

3 Jun 2002 

Yang Amat Berhormat 
DATUK SERI DR. MAHATHIR MOHAMMAD 
Perdana Menteri Malaysia 
Jabatan Perdana Menteri 
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan 
62502 WILAYAH PERSEKUTUAN PUTRAJAYA 

Tel: 8888 1957

Assalamu'alaykum 

YAB Datuk Seri 

NAIB CANSELOR UiTM GAGAL MEMBUAT PENGAMBILAN PELAJAR BARU DI UiTM KAMPUS KOTA KINABALU 

Dengan segala hormatnya perkara di atas adalah dirujuk. 

Dalam menyahut aspirasi kerajaan dan demi kebaikan rakyat Sabah, saya sebagai pelajar UiTM merasa bertanggungjawab untuk membuat pengaduan kepada YAB Datuk Seri supaya dapat menyiasat, menegur dan mengambil tindakan pantas terhadap sikap diskriminasi Naib Canselor UiTM, Datuk Prof. Dr. Ibrahim Abu Shah yang telah bertindak secara tidak rasional kepada Kerajaan dan Rakyat Sabah.

Aduan yang dimaksudkan adalah merujuk kepada sikap Dr. Ibrahim untuk tidak membuat pengambilan pelajar baru bagi sesi akademik Jun 2002-Nov 2002 di UiTM Kampus Kota Kinabalu, Sabah yang mana majoriti pelajarnya merupakan rakyat Sabah. Justeru itu, kegagalan ini telah menyebabkan wujudnya penafian secara tidak langsung terhadap keperluan mendapat pendidikan oleh rakyat Sabah. Dipercayai seramai 600 pelajar baru sepatutnya dapat memulakan pengajian di kampus Kota Kinabalu, Sabah dalam pelbagai displin andainya kesilapan mudah ini dapat dielakkan dengan lebih awal. 

Dengan angka yang sedemikian besar bagi sebuah negeri yang amat memerlukan profesional-profesional daripada anak tempatan dalam rangka membangunkan negeri, maka kegagalan ini boleh disifatkan telah bercanggah dengan aspirasi dan janji Kerajaan Pusat untuk membantu rakyat Sabah dari belenggu kemunduran - menuju kemajuan sepertimana yang ditunjukkan oleh negeri Selangor, Johor dan lain-lain lagi. Di samping itu, kegagalan Dr. Ibrahim menangani perkara ini secara tidak langsungnya telah memalitkan lumpur keaiban terhadap niat suci dan usaha gigih kerajaan Pusat yang selama ini amat memelihara kebajikan serta menghormati hak-hak rakyat Sabah. 

Untuk maklumat YAB Datuk Seri, keadaan ini timbul apabila Dr. Ibrahim telah mengambil sikap sambil lewa serta tidak menjalankan tanggungjawab dengan sempurna sehingga menyebabkan pihak kontraktor gagal menyiapkan kolej kediaman pelajar seperti yang dijadualkan - sebelum Mei 2002. Malahan timbul banyak pertanyaan, bagaimana pembinaan tapak kolej kediaman pelajar tersebut boleh menjangkau sebanyak RM 3 Juta? Hanya untuk tapak sahaja! Saya telah merujuk kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) dan menurut mereka kebiasaannya dalam penyediaan tapak sesuatu kolej kediaman universiti dengan merujuk kepada pelan tapak kolej kediaman di Kampus Kota Kinabalu, jumlah tersebut adalah besar dan tidak munasabah. Maka timbul pertanyaan, bagaimana Dr. Ibrahim boleh meluluskan pembinaan kepada kontraktor tesebut dengan jumlah yang begitu merugikan apatah lagi projek tersebut gagal disiapkan dalam jangkamasa yang ditetapkan? 

Selain daripada itu, keputusan Dr. Ibrahim yang meluluskan dan mempertahankan perbinaan kolej kediaman pelajar ini agar terus dilakukan di lereng bukit telah menyebabkan kebimbangan kepada hampir keseluruhan warga UiTM Kampus Kota Kinabalu. Dengan kadar hujan yang kerap di sini, sudah tentu ancaman tanah runtuh memang tidak dapat dielakkan. Sewajarnya, Dr. Ibrahim mengambil pengiktibaran di atas kejadian tanah runtuh yang kerap berlaku di Kampus Kota Kinabalu dimana penstrukturan semula tanah menelan kos yang agak tinggi. Di samping itu pembinaan sepatutnya dibuat di kawasan tanah rata - yang masih lagi luas dan lebih ekonomik serta kurang risiko, tetapi idea ini langsung tidak dipertimbangkan. 

Pada pandangan saya, sekalipun pengambilan pelajar baru tidak dapat dielakkan, masih ada lagi beberapa pilihan lain yang boleh membantu. Namun kerana sikap negatif Dr. Ibrahim yang sering dilabel lembab dan tidak turun ke akar umbi untuk menghayati pemasalahan serta tuntutan pelajar-pelajar Sabah maka perkara ini telah dipandang enteng. Antara cadangan dan langkah yang pernah dikemukakan serta paling efektif bagi menangani keadaan ini ialah dengan mengusahakan kediaman sementara bagi para pelajar lama manakala untuk para pelajar baru di tempatkan di kolej kediaman yang sedia ada. Malangnya cadangan dan langkah ini langsung tidak di ambilkira apatah lagi untuk dilaksanakan dengan segera. 

Dengan ini, jelas menunjukkan bahawa Dr. Ibrahim bersikap meminggirkan hal ehwal rakyat Sabah dan memandang mudah soal pendidikan rakyat Sabah. Keadaan ini di burukkan lagi dengan sikap Dr. Ibrahim yang memberi amaran untuk bertindak radikal dengan mengancam untuk menamatkan terus pengambilan pelajar baru di Kampus Kota Kinabalu, Sabah sekiranya pihak Kerajaan Negeri tidak membantu. Soalnya, adakah perkara semudah ini langsung tidak dapat diselesaikan sehingga terpaksa mengeluarkan amaran? Dimana letaknya kebijaksanaan pertadbiran sepertimana yang selalu di war-warkan oleh Dr. Ibrahim dan rangkaian pentadbirannya? Adakah sistem pentadbiran UiTM yang rosak ataupun pegawai-pegawainya yang rosak? Inilah persoalan yang sentiasa berlegar di setiap minda para pelajar dan rakyat Sabah. 

Sehubungan dengan itu, saya mewakili para pelajar di seluruh sistem UiTM yang prihatin dengan rakan-rakan di Negeri di Bawah Bayu terpaksa mengambil sedikit risiko dan mengunakan segala pilihan yang ada bagi menunjukkan simpati mendalam kami dengan mengharapkan belas ehsan daripada YAB Datuk Seri untuk menyiasat dan mengusahakan penyelesaiannya. Kita percaya nasib dan masa depan pendidikan Bumiputera tanpa mengira kenegerian harus diperjuangkan demi kemaslahatan Agama, Bangsa dan Negara. Jelas sekali, sikap Dr. Ibrahim ini adalah bercanggah dengan seruan YAB Datuk Seri yang sebelum ini telah berulangkali menegaskan supaya kita jangan mengenepikan kepentingan sesuatu kelompok atau penduduk dengan mengunakan alasan perbezaan geografi dan politik. 


Akhir sekali saya yakin dan percaya, dengan jaringan rangkaian, rekod kerja yang menakjubkan, kemahiran diplomasi dan komitmen yang jelas dari YAB Datuk Seri perkara ini bukan sahaja akan dapat di tangani dengan sebaik-baiknya malahan akan menjadi simbolik dan kebenaran terhadap sangkaan ramai yang menyifatkan pentadbiran di bawah Dr. Ibrahim sebagai gagal mematuhi aspirasi Kerajaan Pusat malah mengancam semangat integrasi antara Kota Kinabalu dan Kuala Lumpur. Mudah-mudahan bantuan kita yang tidak seberapa ini kepada rakyat Sabah akan menjadi lambang kesungguhan kita untuk memajukan Malaysia dari segenap aspek termasuk dalam soal kependidikan. 

Sekian, segala keprihatinan, kesudian mendengar luahan rasa ini serta jasa baik daripada pihak YAB Datuk Seri adalah amat-amat dihargai dan disanjungi. Semoga limpahan kebahagian abadi dianugerahkan kepada kita dan seluruh rakyat Malaysia yang cintakan keadilan, kebenaran dan demokrasi. 

Terima kasih. 

Wassalamu'alaykum wrt wbt

Yang benar 


ABDUL MU'ADZ ABDUL RAZZAQ
Pelajar 
Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Kejuruteraan Elektrik